Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Polis sedang menyiasat sama ada nahas yang mengorbankan seorang wanita bersama bayi yang dikandungnya mempunyai kaitan dengan aktiviti lumba motosikal membabitkan sekumpulan remaja.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya meminta supaya dua rakan kepada remaja yang turut terkorban dalam kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

"Mangsa masih belajar dan akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kita minta mana-mana saksi tampil untuk bantu siasatan terutama dua rakannya.

"Ketika kejadian tiga remaja menunggang motosikal secara berasingan yang dipercayai secara laju sebelum salah seorang daripada mereka hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan serta merempuh motosikal wanita terbabit.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan wanita terbabit melambung ke dalam bendang sebelum jatuh tertiarap menyebabkan bayi lelaki yang dikandungnya terkeluar melalui saluran peranakan manakala seorang lagi anaknya yang membonceng masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang remaja yang maut itu bukan miliknya atau keluarga sebaliknya disyaki dipinjam daripada rakan.

Mengenai dakwaan tempat kejadian yang dikatakan lokasi lumba motosikal, Shafien berkata, menerusi pemantauan yang dijalankan pihaknya, lokasi itu bukanlah laluan perlumbaan sebaliknya jalan kampung.

"Dari segi pemantauan yang dibuat, laluan itu bukan tempat berlumba tapi penunggang motosikal mengambil peluang pada hari cuti kerana lumba (motosikal) tidak kira lokasi sesuai atau tidak.

"Saya sudah arahkan pemantauan dibuat di seluruh daerah terutama lokasi panas dikenalpasti tempat berlumba dan fokus adalah di Kota Bharu," katanya.

DATUK Shafien Mamat (berkaca mata) mengiringi Datuk Zaini Jass ketika Majlis Penutup Kejohanan Dart, Catur, Karom dan E-Sports Piala Ketua Polis Negara 2022 di di Pengkalan Chepa di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
DATUK Shafien Mamat (berkaca mata) mengiringi Datuk Zaini Jass ketika Majlis Penutup Kejohanan Dart, Catur, Karom dan E-Sports Piala Ketua Polis Negara 2022 di di Pengkalan Chepa di sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Terdahulu, beliau hadir dalam majlis perasmian penutup Kejohanan Dart, Catur, Karom dan E-Sports Piala Ketua Polis Negara 2022 yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Zaini Jass, di dewan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am, di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan tiga maut termasuk seorang remaja lelaki, Muhamad Shakim Muhamad Zaki, 18, penunggang motosikal yang bertembung dengan Nur Hasliza yang sarat mengandung sembilan bulan.

Berita berkaitan:

  • Ibu, bayi lelaki maut kemalangan selamat dikebumikan [METROTV]
  • 'Sempat azan bayi sebelum dia pergi'
  • 'Arwah isteri bersungguh-sungguh minta kebenaran tunggang motosikal'
  • Bayi dalam kandungan 'terkeluar' ketika kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 7:59 PM