JEFF Lau Jun Tean.
JEFF Lau Jun Tean.
BERJAYA merentas padang pasir Sahara.
BERJAYA merentas padang pasir Sahara.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Bicaranya penuh tawa. Biarpun ada beberapa nada serius dalam bait ayatnya, pasti disudahi dengan ungkapan lucu atau wajah bersahaja daripada lelaki ini.

Apa yang pasti, ada misi berat perlu digalas jejaka berusia 25 tahun ini saat mula membongkar kisah hidupnya.

Nyata keperitan yang pernah serta bakal ditempuhi lelaki ini berjaya disembunyikan sebaik mungkin di sebalik seronoknya kami mencuba pelbagai aksi di kamera selfie miliknya.

Jeff Lau Jun Tean mencatat sejarah apabila muncul peserta paling muda dan seorang daripada dua warga Malaysia yang menyertai Maraton des Sables (MDS) pada 2014.

MDS disifatkan ‘perlumbaan kaki paling sukar di dunia’ oleh Discovery Channel berikutan ia berlangsung enam hari dengan jarak 251 kilometer merentasi padang pasir Sahara di Maghribi.

Edisi ke-31 MDS dijangka berlangsung pada 8 April ini dan bakal menarik penyertaan lebih 1,000 pelari tahan lasak dari seluruh dunia.

Pengalaman pertama di MDS dua tahun lalu membuatkan Jeff berulang kali mengatakan enggan kembali ke padang pasir itu namun semuanya berubah sejurus melihat keadaan wanita serta kanak-kanak yang hidup dalam HIV dan AIDS.

“Peritnya hanya tuhan yang tahu. Ia bukan maraton tipikal yang biasa saya sertai. Ia berbeza daripada maraton biasa.

“Sepanjang perlumbaan, peserta MDS perlu memikul beg sandang sendiri yang di dalamnya mengandungi pakaian, makanan, minuman dan ubatan.

“Selepas tamat perlumbaan pada waktu siang, peserta perlu membina tempat tidur dan menyediakan makanan sendiri.

“Semuanya perlu dilakukan sendiri dan tiada bantuan daripada sesiapa. Setiap peserta kepenatan dan kehabisan tenaga untuk membantu peserta lain. Ia benar-benar bersifat ‘survival’ dan amat mencabar.

“Saya bukan seorang yang mudah patah semangat atau cepat putus asa, tetapi hari keempat di MDS nyaris membuatkan saya berhenti di tengah jalan.

“Ia sejauh 82 kilometer dan benar-benar hari yang paling perit serta menyeksakan pernah saya rasai.

“Saya berlari dan berjalan, malah merangkak bagi melengkapkan perlumbaan hari keempat itu yang mengambil masa lebih 10 jam.

“Tetapi, saya usahakan juga sehingga garisan penamat apabila memikirkan keadaan yang lebih buruk perlu dialami wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV serta AIDS ini.

“Hidup mereka lebih perit dan menyakitkan setiap hari berbanding apa yang saya alami. Ia keperitan yang dilalui cuma satu hari.

“Dan disebabkan itu juga saya sanggup kembali ke Sahara untuk cabaran tahun ini walaupun sebelum ini saya pernah katakan enggan melakukannya buat kali kedua,” katanya.

Lutut koyak cetus semangat

Setahun sebelum menyertai MSD, pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Komunikasi dari Universiti RMIT, Melbourne, Australia ini mengalami kecederaan lutut menyebabkannya tidak dapat bergerak normal selama enam bulan.

“Saya mengalami kemalangan basikal ketika menyertai perlumbaan triatlon pada 2013. Kemalangan itu menyebabkan ligamen lutut saya koyak dan beberapa kecederaan ringan di bahagian lain.

“Saya bukan pelari maraton atau triatlon tegar dan hanya sesekali menyertainya. Jadi kecederaan memang dijangka tambahan pula saya tidak banyak pengalaman dalam perlumbaan seperti itu.

“Kata doktor, saya perlukan sekurang-kurangnya sembilan bulan untuk pulih dan sepanjang tempoh itu saya tidak boleh berlari.

“Berjalan pun saya terpaksa bergantung pada tongkat dan ia benar-benar menyukarkan pergerakan saya.

“Tiga bulan pertama saya banyak habiskan masa dengan proses pemulihan. Sesekali terfikir juga betapa tidak bergunanya hidup kerana tidak dapat lakukan apa-apa.

“Dari situ saya berazam untuk melakukan sesuatu perkara positif pada diri dan masyarakat apabila pulih kelak.

“Pada bulan keempat saya beranikan diri berlatih perlahan-lahan di gimnasium dan dua bulan selepas itu saya sudah mampu berlari semula,” katanya.

Hasrat untuk melakukan sesuatu yang memberi impak positif pada dirinya muncul apabila Jeff bertemu Ralph Dixon, seorang pemegang amanah Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

Dixon terlebih dulu berminat dan mendaftar untuk menyertai MDS sebagai satu daripada cara mengumpul dana bagi program yang dijalankan MAF dan Majlis AIDS Malaysia (MAC).

“Ralph menceritakan bagaimana penyertaannya dalam MDS dapat membantu mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS ini meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya amat tertarik dengan usahanya itu lalu tidak teragak-agak mendaftar sama. Tetapi, keluarga hanya tahu mengenai penyertaan ini selepas saya selesai membayar pendaftaran dan menguruskan semuanya.

“Keluarga menyokong penuh hasrat saya dan bapa antara individu utama yang membantu saya merealisasikannya,” katanya.

Ditemani bapanya, Jeff memulakan latihan keras membabitkan laluan lebih 10 kilometer setiap hari. Latihan juga dilakukan dalam keadaan panas terik dan hujan bagi mempersiapkan diri dengan segala kemungkinan di Sahara.

Atas usahanya itu, mereka berdua berjaya mengumpul dana RM80,000 yang disalurkan kepada MAC untuk kegunaan pelbagai program kesihatan khususnya membabitkan wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV serta AIDS.

Menariknya, kecederaan lutut yang dialami Jeff turut pulih, malah tiada tanda kesakitan yang dialaminya sepanjang latihan.

“Sepanjang perlumbaan itu pun lutut saya tiada masalah, seolah-olah saya tidak pernah cedera. Keadaan itu juga memberikan saya inspirasi untuk menggesa masyarakat khususnya golongan muda atau mereka yang mengalami masalah seperti saya supaya tidak takut untuk kembali cergas.

“Biasanya ramai yang takut untuk bersenam atau melakukan aktiviti lasak selepas pulih daripada kecederaan. Ia sebagai langkah berhati-hati kerana bimbang kecederaan itu berulang.

“Tetapi, dengan struktur atau pelan latihan yang sesuai, ia sebenarnya dapat membantu proses pemulihan dengan segera.

“Hingga kini saya tiada masalah dengan kecederaan itu dan saya juga tidak lagi takut untuk melakukan sesuatu yang ekstrem,” tambahnya.

Duta generasi muda

Atas semangat dan inspirasi yang dicetuskannya itu, Jeff dinobatkan Ikon Belia Hidup Sihat Tanpa AIDS, baru-baru ini.

Antara skop tugasannya sebagai penyumbang maklumat dan membantu kempen kesedaran mengenai HIV dan AIDS dalam kalangan generasi muda di negara ini.

“Difahamkan bahawa satu pertiga kes AIDS di Malaysia adalah dalam kalangan remaja iaitu generasi muda.

“Saya terharu diberi penghormatan ini, tetapi pada masa sama ia tanggungjawab besar saya untuk masyarakat Malaysia.

“Saya akan gunakan platform ini dengan menyebarkan seberapa banyak maklumat mengenai apa sebenarnya AIDS dan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pada masa sama, saya sendiri berpeluang meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang ini lalu boleh dikongsikan bersama yang lain,” katanya.

Selain aktif dalam aktiviti larian, Jeff sibuk menguruskan syarikat rekaan yang ditubuhkannya sejak Mac 2013.

Bergerak atas nama Mr Vegetabird, rekaan dan lakaran Jeff banyak digunakan pada alat tulis, buku kanak-kanak, kad ucapan, pelan tahunan serta aksesori comel.

Jeff gemar menyertai bazar tempatan dan boleh dikatakan hampir setiap minggu anak sulung daripada empat beradik ini boleh dilihat di bazar sekitar Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 12:11 PM