BANGUNAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. FOTO BERNAMA
BANGUNAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak tidak akan menukar gelaran Yang di-Pertua Negeri meskipun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2022 diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, Selasa lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun ada yang mencadangkan gelaran ketua negeri itu ditukar kepada 'Yang di-Pertua Negara', beliau beranggapan masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini, eloklah kita kekal gunakan gelaran Yang di-Pertua Negeri, tetapi jika tetap mahukan nama gelaran rasmi itu ditukar, elok gunakan istilah lain misalnya 'Gabenor'.

"Itu lebih sesuai bagi mencerminkan status Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama di Malaysia, malah ia (gelaran itu) pernah kita gunakan pada masa lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Sarawak United FC dan Kuching City FC, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan gelaran ketua negeri itu turut ditukar berikutan nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kini ditukar kepada 'Premier' susulan pindaan RUU Perlembagaan Negeri Sarawak itu.

Menurutnya, gelaran 'Yang di-Pertua Negara' hanya pernah digunakan di Sabah pada masa lalu, namun tidak pernah berlaku di Sarawak.

Baru-baru ini, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee berkata, Sabah juga harus menumpukan usahanya untuk mengembalikan gelaran 'Yang di-Pertua Negara' bagi ketua negerinya.

Sabah perlu mengembalikan gelaran itu menerusi pindaan perlembagaan negeri bagi mencerminkan status Sabah sebagai sebuah wilayah yang bersama membentuk Malaysia.

Gelaran Yang di-Pertua Negara Sabah ditukar kepada Yang di-Pertua Negeri pada 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 5:36 PM