MOHD Asfia ketika sidang media mengenai persidangan DUN Sarawak. FOTO Mohd Roji Kawi
MOHD Asfia ketika sidang media mengenai persidangan DUN Sarawak. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

TIADA perbahasan diadakan selepas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2020) 2020 dan RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 pada persidangan sehari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, esok.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar berkata, ketiadaan sesi perbahasan itu selaras dengan Perintah Tetap DUN seperti Perintah Tetap 68(1), 67(2), 67(4) dan 67(7).

"Pembentangan RUU Perbekalan Tambahan boleh dibuat mengikut Perintah Tetap 68(1) yang dibaca di bawah Perkara 33(4) Perlembagaan Negeri Sarawak RUU mungkin diperkenalkan bagi perbelanjaan dibenarkan untuk tahun kewangan tertentu.

"Usul bacaan kedua RUU harus ditentukan tanpa pindaan atau perbahasan.

"RUU Perbekalan Tambahan adalah sah dalam skop dan parameter Perlembagaan Negeri Sarawak dan bidang kuasa Perintah Tetap (DUN)67(4) dan 67 (7) menyatakan dengan tegas bahawa perbahasan harus tidak dibenarkan ketika bacaan kedua dan pada Peringkat Jawatankuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Pra-Persidangan DUN di Kompleks DUN yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini.

Mohd Asfia berkata, kedua-dua RUU itu akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan bacaan pertama, kedua dan ketiga dilakukan pada hari sama.

"Persidangan DUN sehari akan bermula pada jam 9 pagi esok dan tiada istiadat pembukaan serta tiada ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud," katanya.

Sementara itu, jurucakap DUN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan hanya media rasmi sahaja dibenarkan membuat liputan persidangan itu esok.

"Berikutan masalah penularan pandemik Covid-19 masih berlaku, kita mengambil langkah menghadkan kehadiran orang ramai termasuk petugas media dan hanya media rasmi dibenarkan membuat liputan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 4:49 PM