Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Parti Warisan (Warisan) menyifatkan cubaan menghalang parti itu membuat tinjauan mesra di sebuah pasar di sini, sebagai perkara biasa dan asam garam politik.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sistem demokrasi seharusnya ditegakkan termasuk tidak menghalang mana-mana pihak melakukan aktiviti yang tidak menyalahi prosedur operasi standard (SOP).

"Tidak apalah, itu perkara biasa. Saya tidak kisah sangat politik sebegini. Semasa kita perintah Sabah semua dewan boleh pakai, sama ada pembangkang ke atau kerajaan ke, yang penting mereka sewa dewan. Saya tidak pernah halang.

"Sistem demokrasi yang ada patut ditegakkan, terserah. Bagi rakyat pilih, jangan halang mana-mana pihak.

"Kalau rakyat dah ditetapkan itu kehendak mereka, itu bukan kehendak kita, maka kita tiada pilihan selain menerimanya (kehendak rakyat) dengan hati terbuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra di kawasan perniagaan Seri Alam, di sini, hari ini.

MOHD Shafie (tengah) beramah mesra bersama penduduk di Seri Alam. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHD Shafie (tengah) beramah mesra bersama penduduk di Seri Alam. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Terdahulu, beberapa peniaga Pasar Muafakat Sabah mendakwa mereka diarahkan menutup perniagaan masing-masing hari ini, selepas Presiden Warisan dijadualkan mengadakan tinjauan mesra di situ, pagi tadi.

Bagaimanapun, penjaga premis berkenaan menyatakan pasar itu ditutup hari ini, bagi menjalankan kerja-kerja sanitasi.

Pasar Muafakat Sabah di Seri Alam, beroperasi tujuh hari seminggu dari jam 7 pagi hingga 7 malam, setiap hari.

Kelmarin, Warisan mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Mohd Shafie dilaporkan berkata keputusan parti berkenaan untuk bertanding pada PRN Johor adalah bagi memberi pilihan kepada pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 12:11 PM