RAFIQ Razalil (tengah) bersama Siti Halijah Sarani (kanan) dan Muhammad Nasyrul Syahmi Sahrom (kiri) di Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana NSTP - Media Prima. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
RAFIQ Razalil (tengah) bersama Siti Halijah Sarani (kanan) dan Muhammad Nasyrul Syahmi Sahrom (kiri) di Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana NSTP - Media Prima. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima akan menyerahkan bantuan alat sokongan pembelajaran bernilai RM137,633 kepada dua sekolah di Shah Alam, Selangor yang terkesan akibat banjir.

Bantuan merangkumi sumbangan 40 komputer riba, komputer dan papan putih kepada Makmal Komunikasi dan Teknologi Maklumat (ICT) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Muda.

Selain itu tiga komputer, tiga mesin pencetak serta lapan papan putih untuk Pra-Sekolah, SK Taman Sri Muda 2, Shah Alam, Selangor.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali berterima kasih kepada penyumbang yang membantu menjayakan misi itu.

"Program seperti ini dekat di hati kami malah kita aktif membantu dan berharap dapat terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Terima kasih kepada semua penyumbang dan kami akan berusaha menyampaikan amanah kepada penerima," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Sumbangan Banjir kepada SK Taman Sri Muda dan SK Taman Sri Muda,Shah Alam di Theatrette, Balai Berita News Straits Times Press (NSTP), Bangsar, hari ini.

Tambah Rafiq, MPB akan terus meninjau keadaan terkini pasca banjir dan akan membantu mangsa banjir di negeri lain seperti Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

"Insya-Allah, kita akan teruskan. Tahun lalu saja, MPB berjaya mengumpul kira-kira RM1 juta melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan berharap dapat membantu lebih ramai lagi yang memerlukan," katanya.

Guru Besar SK Taman Sri Muda, Siti Halijah Sarani menyambut baik inisiatif MPB dalam membantu meringankan beban sekolahnya.

"Mewakili warga sekolah, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dana.

"Sumbangan ini diharap memberi manfaat kepada semua murid," katanya.

Sementara itu, guru dan Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Sri Muda 2, Muhamad Nasyrul Syahmi Sahrom turut menghargai dengan sumbangan diterima.

"Jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dan kami sangat hargainya," katanya.

Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Bencana

NSTP-Media Prima melalui akaun Maybank bernombor 514105320757.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 5:36 PM