REMAJA perempuan maut selepas motosikal yang dibonceng terbabit dalam kemalangan di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau. FOTO Ihsan PDRM
REMAJA perempuan maut selepas motosikal yang dibonceng terbabit dalam kemalangan di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin

Slim River: Seorang remaja perempuan maut manakala adik lelakinya patah kaki selepas motosikal dinaiki bergesel dengan lori di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa yang berumur 17 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa membonceng motosikal ditunggang adik lelakinya berumur 15 tahun itu dalam perjalanan dari Slim Village ke arah Slim River.

"Tiba di lokasi kejadian, dipercayai penunggang motosikal jenis Honda RS150 cuba memotong sebuah lori tetapi muncul kenderaan lain dari arah bertentangan.

"Penunggang motosikal cuba mengelak namun motosikal ditunggang itu bergesel dengan lori berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, penunggang motosikal terjatuh di bahagian tayar belakang lori dan patah kaki kiri, manakala pembonceng pula cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berumur 34 tahun tidak mengalami kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat selepas ujian Covid-19 dijalankan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 6:32 PM