LOKASI rangka dipercayai milik lelaki warga emas ditemui. FOTO ihsan polis
LOKASI rangka dipercayai milik lelaki warga emas ditemui. FOTO ihsan polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Selepas hampir dua minggu dilaporkan hilang, tengkorak dan rangka dipercayai milik lelaki warga emas ditemui di kawasan lapang berhampiran hotel di Jalan Tengkera, semalam.

Tengkorak dan rangka dikatakan milik lelaki berusia 87 tahun itu ditemui kira-kira 6 petang oleh pekerja kedai tayar yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, selepas menerima maklumat polis bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

"Siasatan di tempat penemuan tengkorak dan rangka itu kemudian menemui kad pengenalan dan dompet di dalam poket seluarnya.

"Pasukan forensik yang tiba di lokasi kemudian menjalankan kerja pengumpulan tengkorak dan rangka untuk siasatan," katanya.

Menurut beliau, semakan lanjut kemudian mendapati mangsa sebelum ini pernah dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah pada 31 Januari lalu.

"Laporan dibuat oleh anak saudaranya dan mangsa juga dikatakan mempunyai masalah pelupa akibat usianya yang sudah tua.

"Ketika hari kejadian mangsa dipercayai berjalan kaki keluar dari rumahnya yang tidak jauh dari lokasi kejadian dan kemungkinan terjatuh di kawasan semak samun," katanya.

Christopher berkata, tengkorak dan rangka mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan lanjut dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 12:08 PM