POLIS mengadakan Op Didik bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah mematuhi peraturan jalan raya. FOTO ihsan Polis
POLIS mengadakan Op Didik bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah mematuhi peraturan jalan raya. FOTO ihsan Polis
Samadi Ahmad


Putrajaya: Polis mengeluarkan lima saman pelbagai kesalahan membabitkan pelajar sekolah menengah di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dalam Op Didik, hari ini.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, operasi diadakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik Daerah Sepang, 6.30 pagi sehingga 8.30 pagi dan mensasarkan pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.

Menurutnya, polis menjalankan pemeriksaan ke atas 12 pelajar dan 10 kenderaan bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa berkenaan kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

Katanya, selain mengeluarkan saman, anggota turut memberi nasihat kepada penunggang yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas seperti tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, nombor plat 'fancy' (tidak mengikut peraturan) tidak pamer 'P' dan kesalahan ekzos.

"Polis menasihatkan ibu bapa agar memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab bagi memastikan keselamatan anak-anak yang menggunakan kenderaan ke sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 11:02 AM