Redzuan Muharam


Shah Alam: "Mesej saya menerusi video itu ialah jangan rakam saja sebaliknya susuli dengan tindakan," kata ibu tiga anak, Noor Fathin Azlan.

Perkongsian video Noor Fathin, 31, di TikTok yang membantu penghantar makanan selepas klip tali beg terbuka dan berjuntai sehingga hampir masuk ke dalam tayar motosikal mendapat perhatian ramai.

Noor Fathin berkata, dia dan suami, Mohd Muzamir Mahyuddin, 36, menyedari kejadian itu ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Jalan Plumbum, Seksyen 7, di sini, jam 10.45 pagi kelmarin.

"Kebetulan penghantar makanan berada di hadapan kami, jadi suami nampak tali beg galas berjuntai.

"Saya kemudian meminta suami mengekori rapat motosikal ditunggang penghantar makanan berkenaan dan membunyikan hon supaya dia sedar.

"Mulanya penghantar makanan itu tidak sedar dan suami pula enggan membunyikan hon berulang kali kerana bimbang mengganggu pemandu lain jadi cuba mengekori motosikalnya serapat mungkin. Mujurlah kami dapat memintasnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia dan suami bersyukur kerana cepat bertindak walaupun agak sukar berikutan laluan yang sibuk.

Katanya, jika terlambat mungkin penghantar makanan itu boleh terjatuh.

"Apa yang penting, penghantar makanan itu selamat dan saya pun sebenarnya rakam secara spontan kerana berada di tempat duduk penumpang.

"Mulanya saya muat naik video di Instagram (IG) Story namun tak sangka ia tular selepas kongsikan di TikTok.

"Niat saya kongsikan video itu cuma untuk beri kesedaran kepada penghantar makanan supaya berhati-hati dan peringatan kepada masyarakat supaya mainkan peranan sebagai pengguna jalan raya untuk peka serta hulurkan bantuan jika berdepan keadaan serupa.

"Ketika itu, saya tidak sampai hati lihat saja kerana suami juga penghantar makanan jadi terbayang jika perkara sama berlaku terhadapnya," katanya.

Sementara itu, Mohd Muzamir berkata, keadaan berkenaan mungkin berlaku kerana penghantar makanan berkenaan terlepas pandang untuk mengikat tali beg dengan betul.

"Dia mungkin tidak perasan kerana mahu menghantar pesanan makanan kepada pelanggan dengan cepat.

"Saya faham kerana saya juga penghantar makanan. Jadi, peranan kita sebagai masyarakat adalah bantu sesiapa saja supaya insiden buruk dapat dielakkan," katanya.

RAKAMAN video Noor Fathin yang kemudiannya membantu penghantar makanan. FOTO ihsan Noor Fathin Azlan
RAKAMAN video Noor Fathin yang kemudiannya membantu penghantar makanan. FOTO ihsan Noor Fathin Azlan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 4:39 PM