Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mensasarkan kemajuan infrastruktur sebanyak 37 peratus bagi tahun ini membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, bagi proses pengambilan tanah di Kelantan ia sudah siap sepenuhnya dan pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian negeri Kelantan yang banyak membantu menyelesaikan isu pengambilan tanah di negeri berkenaan.

"Manakala di Pahang dan Terengganu masih berjalan dan di Selangor pula proses pengambilan tanah akan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan negeri itu baharu sahaja bersetuju menerima Jajaran Utara ECRL pada awal Disember tahun lalu.

"Kerja-kerja infrastruktur ini merangkumi kerja-kerja tanah, kerja-kerja jambatan dan cerucuk di Kelantan, Terengganu, Pahang serta Selangor," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program 'Mesra ECRL' di Pusat Inovasi Kraf Batik dekat Tunjong di sini, hari ini.

Rangkaian rel sepanjang 665 kilometer itu yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 kilometer, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion dijadualkan siap pada Disember 2026.

Pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan ECRL di Kelantan sudah mencapai kemajuan 16.34 peratus membabitkan kerja-kerja infrastruktur sehingga Disember tahun lalu merangkumi 18 lokasi di negeri itu.

"Justeru itu, pihak MRL optimis projek ECRL di negeri ini yang merangkumi jajaran sepanjang 43.86 kilometer (km) akan siap dibina mengikut jadual pada akhir tahun 2026 dengan kerjasama dan sokongan padu dari kerajaan negeri Kelantan serta maklum balas dan penerimaan positif oleh penduduk setempat.

DARWIS Abdul (kiri) memberi penerangan mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat (kanan) ketika Program 'Mesra ECRL' di Pusat Inovasi Kraf Batik dekat Tunjong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DARWIS Abdul (kiri) memberi penerangan mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat (kanan) ketika Program 'Mesra ECRL' di Pusat Inovasi Kraf Batik dekat Tunjong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Di Kelantan terdapat dua stesen yang akan dibina iaitu di Tunjong (stesen penumpang) dan yang kedua di Pasir Puteh (stesen penumpang dan stesen kargo).

"Jumlah tenaga kerja bagi projek ECRL di Kelantan adalah seramai 672 pekerja yang mana 73 peratus terdiri daripada warga tempatan.

"Antara kelebihan lain yang boleh dilihat apabila ECRL ini siap ia akan menjimatkan masa perjalanan penduduk dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur yang hanya mengambil tempoh masa empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan darat atau 12 jam semasa musim perayaan," katanya.

Mengulas lanjut, Darwis berkata, Program 'Mesra ECRL' yang diadakan selama dua hari di Kelantan bermula hari ini adalah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam menyantuni ekonomi setempat, sosial, rakyat dan alam sekitar.

"Sepanjang program ini berlangsung, pihak MRL turut mengambil peluang mengadakan sesi temuduga terbuka bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) untuk sesi pengambilan Mac 2022 dengan menawarkan jawatan kepada mereka yang berminat untuk bekerja seperti juruteknik tapak binaan dan mekanik mesin jentera berat.

"Dalam masa sama, pelatih PLKI-ECRL yang berjaya menamatkan latihan dalam program ini akan dijamin penempatan sebagai sebahagian daripada tenaga kerja pembinaan infrastruktur mega ini bagi memastikan bilangan tenaga pekerja tempatan mencukupi untuk projek ECRL yang dijangka mencapai pembinaan kemuncak pada tahun 2023," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 2:31 PM