Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang lelaki dirakam menimbulkan kekecohan di jalan raya dengan mengamuk dan memaki pengguna jalan raya lain di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Dato Muda Linggi, dekat sini.

Tanpa mengetahui punca kejadian berkenaan, rakaman lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) itu tular di Facebook, sejak dua hari lalu.

Berdasarkan video berdurasi seminit 31 saat itu, lelaki berkenaan dipercayai berhenti dan keluar dari kenderaan di kawasan lampu isyarat yang agak sesak.

Dia kemudiannya bertindak seperti orang kurang siuman dengan memaki hamun beberapa pengguna jalan raya yang turut berhenti sementara menunggu lampu merah.

RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular

Ekoran video yang tular itu, ramai yang tertanya-tanya mengenai tindakan lelaki dan ada yang mendakwa dia mungkin masalah mental.

Turut terdengar dalam dirakam pengguna jalan raya lain itu dialog perakam bersama penumpangnya yang risau akan keselamatan lelaki itu sendiri yang berlegar-legar di jalan dan keselamatan pengguna jalan lain kerana dibimbangi mencederakan orang lain.

Bagaimanapun, dia tidak mencederakan mana-mana individu atau merosakkan kenderaan sebelum beredar dengan Perodua Alza selepas lampu isyarat bertukar hijau.

Video itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 10:18 AM