MOHD Fahmi Reza Mohd Zarin. FOTO Arkib NSTP.
MOHD Fahmi Reza Mohd Zarin. FOTO Arkib NSTP.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memulakan penghantaran komunikasi jelik berhubung peraturan kuarantin terhadap menteri di akaun Twitter, tahun lalu.

Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Fahmi selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan kesalahan itu melalui Twitter dengan menggunakan laman profil "Fahmi Reza" atau "@kuasasiswa" di pautan https://twitter.com/kuasasiswa/status/135939740125393, pada 3.02 petang, 10 Februari 2021.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, dengan hantara itu dibaca pada 4 petang, 11 Februari 2021 di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan, Presint 1, Putrajaya.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000.00 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 terhadap OKS, namun peguam Raj Surian Pillai memohon ikat jamin lebih rendah antara RM4,000 ribu dan RM5,000.

Mahkamah membenarkan Fahmi dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 11:26 AM