SK Saujana Indah yang dijadikan PPS. FOTO arkib NSTP
SK Saujana Indah yang dijadikan PPS. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah yang dibuka lebih tiga minggu lalu bagi menempatkan penduduk dari dua kampung di sini yang terjejas dengan pencemaran udara susulan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung ditutup sepenuhnya hari ini.

Sehubungan itu, kesemua penduduk sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Jawatakuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kualiti udara di sekitar Ladang Byram bertambah baik dan pulih melalui cerapan terkini serta ulasan teknikal daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

"Selain itu, operasi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Seberang Perai Selatan juga akan ditamatkan pada hari ini.

"Namun begitu, pihak syarikat konsesi pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meneruskan kerja-kerja penutupan Fasa 1 dan 2 hingga selesai di bawah pemantauan secara berkala oleh JAS.

"Pihak jawatankuasa berterima kasih kepada semua agensi persekutuan dan negeri yang telah membantu dalam operasi bencana ini. Komitmen tinggi semua pihak dalam menyelesaikan urusan ini amat dihargai," katanya.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah berkenaan dilaporkan terbakar seluas 11.3 hektar hingga menyebabkan kualiti udara dekat situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya, 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 12:03 PM