KAKITANGAN MBSP turut membantu memadamkan kebakaran. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN MBSP turut membantu memadamkan kebakaran. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang terbakar dengan keluasan 11.3 hektar sejak 12 Januari lalu sudah sampai ke penghujungnya apabila 98 peratus kebakaran berjaya dipadamkan setakat hari ini.

Perkembangan itu dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh.

Menurut Boon Poh, berdasarkan maklumat daripada Pengerusi Bencana Daerah Seberang Perai Selatan, kebakaran hampir terpadam keseluruhan iaitu sebanyak 98 peratus.

"Usaha pemadaman akan diteruskan dengan kerja pengepaman air dan menutup dengan tanah sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.

"Kerja pemadaman itu diteruskan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan PLB Terang Sdn Bhd," katanya.

Beliau berkata, dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah dan SK Bakap Indah masih beroperasi untuk menempatkan penduduk dari Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram yang terjejas.

Dalam tinjauan yang diadakan hari ini bagaimanapun penduduk didapati sudah kembali ke kediaman masing-masing berikutan sudah lama meninggalkan rumah mereka.

Pada masa sama, Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan di sekitar kawasan berkenaan juga mendapati berada di tahap sederhana.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah berkenaan dilaporkan terbakar hingga menyebabkan kualiti udara dekat situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Kebakaran berkenaan menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 9:49 PM