Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merancang menggunakan kaedah bom air dari udara atau 'water bombing' bagi memadamkan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini, hari ini.

Pemadaman itu akan dijalankan lapan krew dengan menggunakan dua helikopter dari Unit Udara JBPM Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang.

JBPM dalam kenyataannya berkata, proses pemadaman akan dibuat di lokasi titik panas berdasarkan termal imej yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Justeru, semua agensi atau penduduk tidak membuat sebarang penerbangan dron ketika kerja unit udara bomba sedang melakukan penerbangan dan operasi pemadaman.

UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter memadamkan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. FOTO DANIAL SAAD
UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter memadamkan kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. FOTO DANIAL SAAD

Dalam perkembangan lain, 10 keluarga membabitkan 44 individu kini berada di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sejak Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, berdasarkan laporan yang diterima lapan keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah manakala dua keluarga berada di SK Bakap Indah.

"Jumlah keseluruhan penduduk yang berada di kedua-dua PPS adalah 44 individu dan tiada pertambahan setakat jam 8 pagi tadi.

"Keadaan di kedua-dua PPS juga dilaporkan dalam keadaan baik dan terkawal," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua PPS dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dekat situ sehingga keadaan pulih.

Ia selepas tapak pelupusan sampah itu dilaporkan terbakar dengan keluasan 6.5 hektar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu minggu lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya yang kini sudah memasuki hari kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 11:24 AM