Hazira Ahmad Zaidi


Pasir Puteh: Kerajaan negeri berusaha meningkatkan jaringan internet di kawasan luar bandar termasuk di 18 lokasi perkampungan Orang Asli di Gua Musang melalui penggunaan teknologi satelit seiring perkembangan teknologi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil perhatian serius mengenai pembangunan infrastruktur digital.

"Dengan adanya liputan, ia sekurang-kurangnya dapat memberi khidmat kepada rakyat untuk melayari internet secara lebih baik berasaskan kepada satelit.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kerana Kelantan ICT Gateway BiNa NET berusaha untuk mengatasi masalah liputan rangkaian jalur lebar kepada rakyat Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ahmad berkata, kadar penggunaan internet semakin tinggi sama ada di bandar atau luar bandar menyebabkan keperluan jaringan internet amat penting termasuk bekerja dari rumah (BDR) dan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Berdasarkan statistik, kedudukan Kelantan juga masih lagi belum mencapai tahap yang diinginkan dari aspek kadar penembusan jalur lebar.

"Dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela), ia adalah lonjakan baharu sebagai satu usaha dan perancangan pelan tindakan bagi menyediakan asas untuk liputan jalur lebar yang menyeluruh serta berkualiti tinggi bagi mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G pada tahun ini," katanya.

Katanya, kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan terutamanya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat diperhebatkan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek di bawah Jendela berjalan lancar.

"Saya juga berharap rakyat di Kelantan terutamanya yang berada di luar bandar dapat menikmati kemudahan internet yang baik serta memberi manfaat dari segi pendidikan, ekonomi, dan sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 3:21 PM
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (tengah) ketika merasminkan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (tengah) ketika merasminkan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI