GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Butterworth: Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur kerana berlumba haram dan menyita 43 motosikal dalam operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di dua lokasi tumpuan mat rempit di negeri itu malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang Superintendan Zafri Zolkapli berkata, operasi bermula jam 10 malam dan tamat lima jam kemudian itu dijalankan di daerah Barat Daya dekat sini dan Seberang Perai Utara (SPU), di sini.

"Pihak polis menjalankan operasi itu hasil dari aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya (samseng jalanan) yang kerap dilaporkan di dua daerah tersebut.

"Kami menjalankan operasi itu bagi mencegah kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

"Dalam operasi itu, kami menahan empat lelaki berusia 15 hingga 21 tahun kerana berlumba haram dan menyita 43 motosikal kerana pelbagai kesalahan antaranya mengubah suai kenderaan serta tiada cukai jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, empat lelaki termasuk dua remaja bawah umur yang sudah tidak bersekolah itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala 43 motosikal disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987.

Beliau berkata, sebanyak 117 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan pelbagai kesalahan trafik dan pihaknya akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 3:09 PM