Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Fenomena belalai darat atau puting beliung yang berlaku di kawasan Bukit Kayu Hitam semalam berkemungkinan besar boleh berulang dan lebih besar yang boleh membawa kemusnahan lebih teruk.

Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah Muhammad Khalil Abd Aziz Aziz berkata, tidak mustahil ia boleh berlaku dan orang ramai dinasihatkan supaya menjauhinya sekira nampak pusaran angin berlaku kerana ia boleh mengangkat objek di sekeliling bergantung pada kekuatan angin.

Menurutnya, waktu ini cuaca agak panas dan menyebabkan tiupan angin agak kencang sehingga wujudnya awan kumulonimbus yang menyebabkan terbentuknya belalai darat.

"Namun fenomena ini sudah beberapa kali berlaku di kawasan utara di Semenanjung tanah air terutamanya di kawasan yang landai dan lapang.

"Bagaimanapun, berdasarkan video yang tular di media sosial semalam, didapati kekuatan belalai darat itu hanyalah di tahap sederhana," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, tular satu video yang memaparkan pembentukan puting beliung yang menimbulkan kebimbangan penduduk di kawasan Bukit Kayu Hitam.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang terjejas teruk akibat fenomena itu.

Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini di Langkawi dan Pendang.

Menurutnya, fenomena itu pernah melanda beberapa kawasan dalam daerah Kota Setar pada 2014 menyebabkan banyak kerosakan pada waktu itu selepas bumbung beberapa rumah diterbangkan angin.

"Selain itu, kita menjangkakan, suhu panas terik yang melanda kini akan bertambah sehingga mencecah kepada lebih 36 darjah celcius.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak dari berada di kawasan panas dan melakukan aktiviti yang terdedah dengan sinaran matahari.

"Hujan ada berlaku di beberapa kawasan semalam terutama di Bukit Kayu Hitam dan Kota Setar namun tidak lebat," katanya.

Keadaan ketika belalai darat atau puting beliung melanda di kawasan Bukit Kayu Hitam semalam. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan ketika belalai darat atau puting beliung melanda di kawasan Bukit Kayu Hitam semalam. Foto Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 7:28 PM