PESERTA perhimpunan berkumpul di LRT Bangsar. FOTO Hazreen Mohamad
PESERTA perhimpunan berkumpul di LRT Bangsar. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan #TangkapAzamBaki yang berlangsung di Jalan Bangsar, di sini, hari ini, untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya sedang mengenal pasti penganjur perhimpunan berkenaan untuk tindakan susulan.

"Tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang himpunan itu. Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti sebegitu yang dikhuatiri menyebabkan penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dianggarkan kira-kira 150 peserta yang berpakaian hitam menyertai himpunan berkenaan bermula jam 10.45 pagi yang turut dihadiri aktivis, Adam Adli Abdul Halim dan Ahli Parlimen Seputeh, Theresa Kok.

Peserta yang hadir membawa kain rentang, bendera serta plakad turut berarak sejauh kira-kira 600 meter di sepanjang Jalan Bangsar hingga ke persimpangan lampu isyarat ke Brickfields.

Mereka kemudian berpatah balik dari persimpangan berkenaan ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar sebelum bersurai jam 12.45 tengah hari.

Terdahulu, Jalan Bangsar serta beberapa laluan di sekitar pusat bandar dilaporkan sesak susulan penutupan serta lencongan jalan bermula jam 7 pagi.

Lencongan jalan itu membabitkan Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar bermula jam 7 pagi hingga perhimpunan selesai.

Semalam, media melaporkan penutupan enam jalan menghala ke pusat bandar serta 24 stesen tren LRT, monorel, KTM bermula jam 7 pagi.

Bagaimanapun, Jalan Bangsar mula dibuka semula kepada orang awam jam 1 tengah hari selepas perhimpunan berkenaan selesai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, enam jalan yang ditutup sekitar pusat bandar bermula jam 7 pagi dibuka secara berperingkat bermula jam 10.30 hingga 11 pagi.

"Tiada perhimpunan berlangsung di sekitar pusat bandar (daerah Dang Wangi) dan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 4:47 PM