APMM Perak merampas sebuah bot dan 10 set bubu naga di perairan Pulau Talang, Lumut. FOTO Ihsan APMM
APMM Perak merampas sebuah bot dan 10 set bubu naga di perairan Pulau Talang, Lumut. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas bot fiber bersama 10 set bubu naga dipercayai milik dua beranak di kedudukan dua batu nautika barat daya Pulau Talang di sini, hari ini.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ia dilakukan sepasukan anggota bot peronda yang melakukan rondaan di perairan berkenaan pada 5 pagi.

"Bot berkenaan dikendalikan dua beranak berusia 48 dan 20 tahun daripada Sitiawan. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan APMM.

"Bot bersamaan bubu naga diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Shahrizan berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Katanya, penguatkuasaan terhadap bubu naga dilihat serius kerana pihaknya sering menerima aduan mengenai segelintir komuniti nelayan yang masih menggunakan alatan itu

"Ada segelintir komuniti nelayan masih berdegil menggunakannya tanpa memikirkan kesan sampingan kepada perkembangan habitat marin untuk jangka panjang.

"Penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin dan berpotensi pupus serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai," katanya.

Justeru, APMM Perak mengalu–alukan maklumat berkaitan penyalahgunaan sebarang peralatan menangkap ikan di perairan negara.

"Komuniti boleh menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:19 PM