BOT terbabit. FOTO Ihsan APMM
BOT terbabit. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan bot nelayan tempatan kerana menangkap ikan di zon tidak dibenarkan di perairan Bagan Datuk, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, bot nelayan berkenaan ditahan sepasukan anggota bot ronda Petir 80 ketika sedang menangkap ikan.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan mendapati tekong bot berkenaan adalah warga tempatan, manakala awak-awak pula warga Indonesia.

“Awak-awak bot nelayan itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot bersama tekong dan awak-awak, masing-masing berusia 33 dan 40 tahun terbabit kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel, Sitiawan untuk diserahkan kepada Unit Siasatan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu katanya, APMM akan bertindak tegas terhadap bot nelayan yang melakukan pencerobohan zon menangkap ikan.

Selain itu, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memelihara kehidupan marin supaya tidak terjejas.

“Orang awam dimohon menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencuri hasil laut di perairan negara.

“Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Disember 2019 @ 10:33 AM