BUNGKUSAN disyaki syabu yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
BUNGKUSAN disyaki syabu yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan seorang penganggur menjadi penghantar dadah di sekitar ibu kota mengundang padah apabila dia ditahan dalam Op Irma di Jalan Kuchai Lama, di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, JSJN Kuala Lumpur menjalankan operasi dan menahan suspek berusia 28 tahun pada 8.55 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu beg plastik mengandungi 10 bungkusan berisi dadah disyaki syabu seberat 10.2 kilogram.

"Turut dirampas Perodua Myvi dan wang tunai berjumlah RM300.

"Siasatan mendapati suspek adalah penganggur dan berperanan sebagai penghantar dadah kepada pelanggan di sekitar Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata, suspek yang berkeluarga dan mempunyai dua anak itu tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau dan hasil ujian saringan awal polis yang dilakukan ke atasnya dapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

"Suspek ditahan reman selama lima hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan seramai 20,420 orang pengguna dadah," katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah termasuk kereta dan wang tunai adalah RM405,300.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 10:06 AM