ANTARA peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah dirampas polis daripada dua lelaki ketika pemeriksaan ke atas lori dinaiki mereka. FOTO ihsan Polis
ANTARA peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah dirampas polis daripada dua lelaki ketika pemeriksaan ke atas lori dinaiki mereka. FOTO ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Rembau: Seorang pemandu lori dan kelindannya dikesan 'memasak' dadah syabu di dalam lori.

Kesalahan dua lelaki terbabit bagaimanapun dikesan selepas mereka ditahan dalam pemeriksaan mengejut di Jalan Kundur Hilir, di sini, Jumaat lalu.

Ketika pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 12 tengah hari itu, polis menemui dadah disyaki jenis methaphetamine dan 'dapur' yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, terdahulu Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang melakukan rondaan mengesan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di lokasi itu.

"Ketika penugasan MPV bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Rembau, kami menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kundur Hilir, dari arah Rembau ke Linggi.

"Anggota BSJND yang membuat pemeriksaan rapi menemui plastik berisi serbuk dan ketulan dadah methaphetamine seberat 17 gram disembunyikan di belakang tempat duduk lori," katanya semalam.

Beliau berkata, turut dijumpai adalah botol kaca yang diubahsuai untuk menghisap dadah syabu dan satu pemetik api.

"Sehubungan itu, kami menahan pemandu lori berusia 38 tahun dan kelindannya berusia 36 tahun. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau untuk tindakan lanjut.

"Semakan mendapati kelindannya mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah. Manakala ujian saringan urin ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 5:40 PM