GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Rembau: Meskipun memiliki 10 rekod lampu membabitkan jenayah dan dadah, seorang pemegang kad pengenalan MyPoca sekali lagi ditahan selepas didapati memiliki dadah di Kampung Kundur Hilir, di sini, Jumaat lalu.

Dalam pemeriksaan jam 11.30 pagi oleh unit kereta peronda (MPV) itu, polis menemui satu paket dadah jenis methaphetamine di dalam kereta dinaiki suspek.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, MPV yang sedang meronda bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Rembau menahan kenderaan dinaiki suspek yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika penugasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), MPV menahan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna merah di Kampung Kundur Hilir dinaiki dua lelaki.

"Hasil pemeriksaan kad pengenalan salah seorang suspek adalah pemegang kad pengenalan MyPoCA iaitu kad pengenalan warna perang yang biasanya dikeluarkan untuk tahanan Akta Pencegahan Jenayah (Poca)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota BSJND yang membuat pemeriksaan lanjut terhadap suspek dan kenderaan dinaiki kemudiannya menemui satu paket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis methaphetamine.

"Polis menahan dua lelaki yang berusia 32 dan 52 tahun itu dan merampas bahan terlarang berkenaan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau untuk tindakan lanjut.

"Semakan lanjut mendapati lelaki yang berusia 32 tahun mempunyai 10 rekod jenayah dengan empat daripadanya membabitkan kesalahan narkotik manakala seorang lagi suspek memiliki enam rekod jenayah termasuk kesalahan dadah.

"Malah, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methaphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 10:17 AM