DUA lelaki warga Nepal ditahan susulan dipercayai menjalankan penjualan arak tidak bercukai. FOTO Ihsan PGA
DUA lelaki warga Nepal ditahan susulan dipercayai menjalankan penjualan arak tidak bercukai. FOTO Ihsan PGA
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Dua lelaki warga Nepal ditahan selepas dipercayai menjalankan penjualan arak tidak bercukai di sebuah premis di Taman Cendana di sini, malam kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pada 7.40 malam itu membawa kepada penahanan kedua lelaki terbabit yang berusia 25 dan 32 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati premis berkenaan dipercayai sebagai tempat simpanan sementara arak seludup untuk pasaran kepada warga asing.

"Rampasan membabitkan enam kotak arak berjenama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11,992.86.

"Kedua lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi jalan tidak diwartakan menerusi talian hotline, 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:37 PM