Kecederaan dialami mangsa selepas ditetak bekas menantunya. FOTO ihsan PDRM
Kecederaan dialami mangsa selepas ditetak bekas menantunya. FOTO ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Akibat tertekan didesak membayar ganti rugi, seorang lelaki tempatan nekad menetak bekas bapa mentuanya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pandan Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 11 malam tadi.

"Siasatan dilakukan di lokasi kejadian mendapati mangsa yang juga warga asing berusia 51 tahun didatangi suspek yang juga bekas menantunya berusia 25 tahun.

"Suspek dipercayai membawa parang lalu terus menetak mangsa beberapa kali di badan menyebabkan mangsa mengalami luka di bahagian belakang kepala, pipi sebelah kiri dan lengan kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, selepas kejadian itu, suspek melarikan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi yang dijanjikan suspek, namun akibat desakan itu suspek bertindak menetak mangsa.

"Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan kini berada di Zon Kuning Hospital Ampang dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 3:11 PM