AZAM.
AZAM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) memohon kerajaan menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Pengerusinya Datuk Seri Halim Ishak berkata, siasatan oleh badan bebas itu penting bagi menjaga integriti SPRM yang kini menjadi perhatian dunia.

Halim juga menyarankan supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan dan mengeksploitasi isu ini atas kepentingan parti politik mahu pun kepentingan diri sendiri.

"Reputasi dan moral warga kerja SPRM diharap tidak akan luntur disebabkan oleh isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Isu ini kini menjadi perhatian umum masyarakat Malaysia daripada pelbagai pihak, dari dalam dan luar negara termasuk pelbagai pendapat serta persepsi dilontarkan netizen di media sosial," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Halim turut mempersoalkan, mengapa Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sehingga kini menyepi tanpa suara, walaupun isu itu semakin menjadi perhatian rakyat dan luar negara.

"GIACC sewajarnya menasihatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM direhatkan sementara atau digantung tugas sehingga siasatan selesai demi menjaga integriti SPRM yang sepatutnya 'nampak lebih putih dari putih'.

"Ini juga agar Pelan Anti Rasuah Nasional yang dilancarkan tidak akan terjejas akibat isu Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri," katanya.

Sehubungan itu, Halim menyatakan sekali lagi bahawa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) selaku badan pemantau bebas SPRM mestilah bebas suarakan pendapat tanpa takut kepada mana-mana pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 1:50 PM