GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Hanya satu kes baharu positif Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kalangan mangsa banjir, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 466 kes positif Covid-19 termasuk satu kes baharu direkodkan hari ini dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir di Pahang, Melaka dan Johor.

"Tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan hari ini dalam kalangan mangsa banjir di pusat perpindahan sementara (PPS) menjadikan jumlah keseluruhan kluster dikesan masih lagi satu kluster.

"Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di PPS juga masih kekal 15 kes tanpa ada pertambahan kes dilaporkan hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut merekodkan 43 kes penyakit berjangkit membabitkan jangkitan saluran pernafasan Akut (ARI), penyakit kulit dan Acute Gastroenteris (AGE), hari ini.

"Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes bagi ketiga-tiga penyakit berkenaan selain konjunktivitis serta penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 2,402 kes.

"Sebanyak 58 PPS membabitkan 4,467 mangsa di tiga negeri berkenaan masih beroperasi sehingga jam 3 petang tadi.

"Mangsa banjir dinasihatkan supaya memaklumkan status risiko Covid-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif dikenal pasti sebagai kontak rapat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan dibuat selain patuh kepada SOP ketika berada di PPS," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, sebanyak 3,251 kes baharu Covid direkodkan, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,783,331 kes.

Katanya, sebanyak 58 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.

"Sebanyak 3,193 lagi kes atau 98.2 peratus adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. Daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, 299 kes adalah kes import, manakala 2,952 kes lagi membabitkan penularan tempatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 243 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 211 kes Covid-19, manakala 32 kes dalam siasatan dengan 113 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 3,161 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 2,711,900 kes atau 97.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti dua kluster baharu yang dilaporkan, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster direkodkan sebanyak 6,158 kluster dengan 5,982 kluster tamat, manakala 176 kluster lagi masih aktif.

Menurutnya, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia, sehingga semalam adalah pada 0.96.

"Semua negeri mencatatkan nilai Rt kurang daripada 1.00 kecuali lima negeri iaitu Labuan yang merekodkan nilai tertinggi iaitu 115 diikuti Sabah (1.06) dan Putrajaya (1.01) selain dua lagi negeri iaitu Negeri Sembilan serta Melaka yang masing-masing mencatatkan 1.0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 7:18 PM