Pasukan bomba sedang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa sebelum membawanya turun dengan menggunakan alat pengusung yang disediakan. FOTO ERIKA GEORGE
Pasukan bomba sedang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa sebelum membawanya turun dengan menggunakan alat pengusung yang disediakan. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George

Bintulu: Warga emas lelaki patah kaki kanan selepas terjatuh dari tingkat 4 sebuah flat di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan di Jalan Tanjung Kidurong di sini, pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, warga emas berusia 94 tahun berkenaan kemudiannya tersangkut pada bahagian bumbung sebuah kediaman di tingkat satu flat berkenaan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima makluman berhubung insiden pada 7 pagi.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian didapati mangsa masih lagi terbaring atas bumbung di tingkat satu dalam keadaan kesakitan.

"Pasukan bomba kemudiannya menggunakan tangga untuk mengangkatnya dengan menggunakan pengusung khas," katanya.

Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pasukan paramedik dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

Setakat ini, katanya, belum dapat dipastikan punca sebenar warga emas terbabit jatuh dari kediamannya di tingkat empat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 6:39 PM