ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. FOTO Erika George
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. FOTO Erika George
Erika George


Bintulu: Dua beranak tersepit di kerusi pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi selepas kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas di Jalan Tanjung Kidurong, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson berkata, seramai lima anggota BBP Bintulu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Winston Tan bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada 8.33 malam.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbabas di bahu jalan dan mengalami kerosakan teruk," katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudiannya menjalankan khidmat khas mengeluarkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun dan anak lelakinya.

"Pasukan bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa pada 8.55 malam.

"Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik sebelum dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan terperinci dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 12:03 PM