FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Penularan varian Omicron yang membimbangkan mendorong kerajaan negeri Melaka belum membenarkan solat berjemaah di masjid dirapatkan saf buat masa ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kewujudan varian baharu Covid-19 itu ditambah dengan beberapa kes baharu di negeri ini antara perkara diambil kira untuk kebenaran merapatkan saf solat dikuatkuasakan.

"Apapun perkara itu akan dibincang bersama Mufti Kerajaan Negeri. Jika keadaan beransur pulih, kebenaran merapatkan saf akan diberikan secara berperingkat.

"Melaka tunggu dululah, dengan kewujudan varian Omicron ini menyebabkan kita tak dapat merapatkan saf seperti Perlis.

"Kalau dulu jarak satu meter antara sejadah dengan sejadah, sekarang kita ukur jarak saf antara hidung jemaah dengan jemaah lain satu meter. Sebab yang menyebarkan penyakit menerusi hidung dan mulut. Jadi rapatlah sedikit saf itu berbanding dahulu.

"Kita buat berperingkat, perkara ini saya sudah bincang dengan mufti. Apapun hal ini bergantung kepada kapasiti dan keluasan masjid Jika di masjid itu betul-betul ramai orang, kita rapat-rapatkan saf tapi kena patuh prosedur standard operasi (SOP) dan bergantung pada jawatankuasa masjid," katanya pada majlis penyampaian kunci rumah kepada Abdul Wahab Mohamad, 57, menerusi Program Melaka Rumahku di Bukit Tambun, di sini, tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Mohd Salleh Hamidon.

Sebelum ini media melaporkan Perlis menjadi negeri pertama membenarkan jemaah di masjid-masjid seluruh negeri itu merapatkan saf ketika solat berjemaah berkuat kuasa Suboh hari ini .

Sulaiman berkata, namun jika agak ramai jemaah dalam dalam satu- satu masa saf boleh dirapatkan sedikit tetapi jika tidak ramai jemaaah saf sedia ada boleh dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 4:27 PM