Lizam Ridzuan


Jelebu: Meskipun sudah hampir dua minggu banjir melanda namun penduduk di tiga kampung di sini, masih lagi belum habis membersihkan kawasan persekitaran.

Bencana banjir yang melanda itu menjejaskan 618 mangsa di tiga kampung iaitu Kampung Chennah, Kampung Dusun Kubur dan Kampung Tohor.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, bantuan yang diterima setakat ini cukup baik yang datang dari pelbagai pihak.

"Buat masa ini kami masih lagi sibuk mengemaskan sisa banjir terutama rumah yang terkesan teruk dan saya sendiri akan memastikan bantuan akan sampai kepada yang memerlukan,

"Bermula Jumaat ini bantuan makanan seperti beras dan lain-lain keperluan akan mula diagihkan kepada tiga kampung ini," katanya.

Menurutnya, bantuan diterima sangat baik yang datang setiap hari seperti peralatan elektrik, dapur, pakaian serta khidmat traktor dan lori bagi pembuangan sampah fizikal.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan dan individu-individu turut hadir membantu membersihkan kawasan rumah dan persekitaran.

Ini termasuk kumpulan bekas pelajar Sekolah Menegah Tengku Kurshiah Kuala Pilah (Batch 1992), bersama rakan dalam bidang juru hias perkahwinan dan ahli perniagaan turut mengambil inisiatif membantu mangsa banjir.

Antara sumbangan diberikan ialah barangan elektrik seperti mesin basuh, peralatan persekolahan dan kasut.

ANTARA sumbangan barangan elektrik kepada mangsa banjir. FOTO Lizam Ridzuan
ANTARA sumbangan barangan elektrik kepada mangsa banjir. FOTO Lizam Ridzuan

Sukarelawan, Noe Suhaila Zakaria berkata, dia bersama rakan, Junita Nafiza Mohd Nasir, Fatimah Yusuf, Shamsiah Mohd Zain dan Kaslina Kassim membuat perancangan membantu mangsa banjir selepas mengadakan perbincangan.

"Ramai rakan-rakan kini tinggal di Kuala Lumpur dan Seremban. Kami berbincang di WhatsApp dan mengambil keputusan mengutip dana untuk membeli barangan keperluan penduduk di Kampung Chennah.

"Semoga sumbangan kami yang tidak seberapa ini dapat meringankan beban mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 3:13 PM
BEKAS pelajar Sekolah Menegah Tengku Kurshiah Kuala Pilah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. FOTO Lizam Ridzuan
BEKAS pelajar Sekolah Menegah Tengku Kurshiah Kuala Pilah menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir. FOTO Lizam Ridzuan