Redzuan Muharam


Sepang: Status sebagai orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy (CP) bukan halangan untuk Muhammad Azamirudin Ismail menabur bakti dengan menjalankan misi membantu mangsa banjir.

Buktinya, Muhammad Azamirudin, 28, sanggup menempuh perjalanan lebih 400 kilometer (km), dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah bagi menghantar dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang, di sini. Muhammad Azamirudin tidak berseorangan sebaliknya bergerak bersama 10 rakan dari Team 4x4 Sungai petani dan penternak udang kara air tawar yang menetap di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. "Barangan bantuan dalam misi ini diperoleh hasil sumbangan daripada penduduk dan rakan penternak udang kara air tawar di sekitar Sungai Petani.

MUHAMMAD Azamirudin bersama rakan sukarelawan terbabit dalam misi bantuan banjir di Kampung Labohan Dagang dekat Sepang, baru-baru ini.
MUHAMMAD Azamirudin bersama rakan sukarelawan terbabit dalam misi bantuan banjir di Kampung Labohan Dagang dekat Sepang, baru-baru ini.

"Sumbangan ini dikumpulkan dalam tempoh seminggu selepas berlakunya banjir di Selangor.

"Antara barangan disumbangkan termasuklah pakaian, makanan ringan, minuman dan pelbagai lagi untuk kegunaan asas kepada mangsa banjir yang mana ia dimuatkan ke dalam tiga kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Muhammad Azamirudin mengakui pembabitan dalam misi itu sedikit memberi cabaran buatnya kerana keadaannya yang bergerak menaiki kerusi roda. "Ketika di lokasi, air banjir belum surut sepenuhnya dan kawasan sekitar juga masih dipenuhi banyak sampah yang belum dibuang.

"Itu belum lagi kesesakan jalan disebabkan banyak kenderaan berat yang membawa sukarelawan keluar masuk ke kawasan banjir untuk proses pembersihan serta agihan makanan dan bantuan.

"Sebahagian jalan hanya dapat dimasuki kenderaan pacuan empat roda saja namun saya dapat atasi cabaran itu berkat kerjasama dan bantuan daripada rakan yang turut menjayakan misi bantuan kali ini," katanya.

Di sebalik halangan itu, Azamirudin bersyukur kerana dapat mengikuti misi berkenaan kerana memberi peluang untuknya mewakili komuniti OKU membantu mereka yang ditimpa musibah.

"Saya sangat terkesan dan sedih melihat kerosakan rumah, harta benda dan kenderaan mangsa.

"Bukan setakat itu, haiwan ternakan mereka juga mati akibat banjir... begitu juga peralatan dalam kolam ternakan.

"Jadi, lega rasanya apabila dapat membantu mangsa, walaupun sedikit, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat mengukir senyuman mereka yang masih berduka,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 2:35 PM