MOHD Azhar (kanan) dan isterinya menunjukkan gambar anak mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHD Azhar (kanan) dan isterinya menunjukkan gambar anak mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Isteri saya (Nor Manira Khalib, 57) sudah melakukan persiapan rapi dan dijangka berlepas ke Carribean pada 6 Januari ini bersama pegawai pengiring Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk melihat keadaan anak bongsu kami," kata Mohd Azhar Zakaria, 58.

Anak Mohd Azhar, Nur Nabilah Mohd Azhar, 25, parah di kaki kiri dan retak lengan kanan serta kaki kanan akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam skuba di Dive Division Curacao, Carribean, 28 Disember lalu.

Penuntut tahun akhir Ijazah Pengurusan Pelancongan di UUM, Sintok itu sedang menjalani latihan praktikal di negara berkenaan selama enam bulan sejak 24 September tahun lalu.

Menurut bapanya, harapan mereka sekeluarga semoga Nur Nabilah dalam keadaan semakin sihat dan boleh dibenarkan pulang menjalani rawatan di negara ini.

"Setakat ini saya dimaklumkan keadaan Nur Nabilah yang dipanggil Puteri masih 'lali' malah hampir sedar dan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Curacao.

"Isteri saya hanya akan membawa barangan keperluan untuk berlepas ke sana selain doa untuk melihat sendiri keadaan anak kesayangannya di depan mata.

"Semalam, penuntut UUM turut mengadakan majlis bacaan Yasin buat Puteri, saya terharu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azhar turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada UUM yang banyak membantu keluarganya untuk menaja segala keperluan termasuk tiket penerbangan ke negara itu.

Selain itu katanya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk pihak kedutaan besar Malaysia di Caracas, Venezuela.

"Saya juga baca komen warganet di Facebook (FB), ramai yang mendoakan kesihatan anak saya... Allahuakbar, tak termampu untuk saya balas jasa semua.

"Terima kasih rakyat Malaysia kerana mendoakan untuk anak kami termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang akan membantu menguruskan isteri saya membawa pulang anak ke sini," katanya.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan Mohd Azhar dan isterinya, Nor Manira bimbang keadaan mereka yang terbabit dalam kemalangan di Kepulauan Carribean Selasa lalu ketika menjalani latihan menyelam di situ.

Pasangan itu memerlukan kos sekitar RM40,000 untuk pergi ke negara berkenaan untuk melihat keadaan anak mereka namun buntu kerana wang simpanan mereka tidak mencukupi.

Bagaimanapun, UUM bersetuju untuk membiayai kos sepenuhnya waris keluarga penuntut berkenaan itu ke Carribean sejurus mengunjungi ke rumah mereka Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 6:00 PM