RANTAU PANJANG 1 JANUARI 2022: Pil kuda yang dirampas anggota PGA7 di Kampung Kedai Lama, di sini, semalam. IHSAN PGA7
RANTAU PANJANG 1 JANUARI 2022: Pil kuda yang dirampas anggota PGA7 di Kampung Kedai Lama, di sini, semalam. IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan seorang lelaki mencampak beg sandang miliknya ketika disapa anggota polis membawa kepada penemuan 126 biji pil kuda bernilai RM1,260 dalam kejadian di Kampung Kedai Lama, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, kira-kira jam 5 petang, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak suspek berusia 26 tahun di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan sedang membawa beg sandang di tangan.

Katanya, anggota menghampiri suspek namun lelaki itu bertindak melarikan diri serta mencampak beg yang dipegang sebelum dia berjaya ditahan anggota bertugas.

"Hasil pemeriksaan di dalam beg terbabit menemukan tiub straw dan paket lutsinar yang mengandungi kesemua dadah jenis pil kuda disyaki milik lelaki berkenaan.

"Suspek mencampak beg untuk menghapuskan bukti selain cuba melarikan diri namun dia berjaya ditahan.

"Kesemua pil kuda dirampas dan suspek ditahan untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Azhari berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi kejayaan PGA7 merampas 1,282 kilogram (kg) beras pelbagai jenama bernilai RM5,128 di Jalan Lama Bukit Lata, Pasir Mas, jam 6.45 pagi semalam.

"Anggota yang membuat rondaan terserempak sebuah Pajero Mitsubishi dalam keadaan mencurigakan dari arah Jeram Perdah ke Rantau Panjang sebelum meminta pemandu memberhentikan kenderaan.

"Pemandu berhenti di tepi jalan namun berjaya melarikan diri ke ladang sawit berhampiran dan gagal ditemui. Hasil pemeriksaan ke atas Pajero itu menemukan beras yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

"Pajero serta kesemua beras dirampas untuk dibawa ke Komtak Jeram Perdah bagi siasatan sebelum diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 2:34 PM