GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Dalang di sebalik penjualan filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) secara haram pada harga serendah RM1 di platform e-dagang terkenal didenda RM5,000, Selasa lalu.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya berjaya membuktikan kesalahan penjualan cakera padat digital (DVD) karya filem terbabit tanpa hak cipta dalam talian menggunakan platform e-dagang di Mahkamah Seksyen 2, Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata, jika gagal membayar denda berkenaan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan.

Menurutnya, kes itu berlaku jam 6.15 petang pada 26 November tahun lalu apabila sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP, Putrajaya membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Lorong Peringgi, Alor Setar berhubung aduan yang diterima daripada pengadu berkaitan penjualan DVD oleh tertuduh.

Katanya, pemeriksaan dilakukan terhadap telefon bimbit jenis IPhone 7 Plus milik tertuduh mendapati satu akaun e-dagang memaparkan rekod penjualan DVD karya filem Pencil Pictures dan Records Sdn Bhd yang juga pengadu.

"Hasil siasatan tertuduh didapati menjual satu salinan karya filem berkenaan dalam bentuk DVD tanpa hak cipta pada 2 Julai 2020 jam 2.55 petang di sebuah premis bernombor 18, Tingkat Bawah, Kompleks Sultan Abdul Hamid, Jalan Pegawai, Alor Setar tatkala hak cipta masih dimiliki oleh pihak yang berkenaan," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, penerbit filem AADD, Datuk Ayu Puteh mengesyaki ada dalang di sebalik kejadian filem terbitannya dijual secara haram pada harga serendah RM1 di sebuah platform e-dagang terkenal.

Ayu berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 3 Julai lalu dan menyerahkan semua bukti kes penjualan filem AADD di platform e-dagang berkenaan untuk disiasat pihak berkuasa.

Sementara itu, Azman berkata, perbuatan tertuduh itu suatu kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(b) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(1)(b)(i) Akta yang sama.

Katanya, kes didengar pada Selasa lalu untuk sebutan bagi serahan dokumen di bawah Seksyen 50A Kanun Acara Jenayah (KAJ) dan tertuduh hadir tanpa diwakili peguam serta membuat menukar pengakuan kepada bersalah.

"Eksibit dilucuthak dan diserahkan kepada pihak pendakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 3:07 PM