Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) menyalurkan bantuan tunai RM200,000 bagi meringankan bebanan mangsa banjir di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya M Rozi Bidin berkata, bantuan itu disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk pengagihan kepada semua mangsa banjir.

"Penyaluran bantuan itu sebagai tanda solidariti kepada semua mangsa yang terjejas teruk susulan banjir besar.

"Kita sedang menunggu kelulusan untuk turut mengagihkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa banjir di Selangor dan Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menerima pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM200,000 daripada Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), di sini, hari ini.

Majlis penyerahan zakat perniagaan disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah KPKKT, Mohd Harun Isa.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif Golden Pharos Berhad (GPB), Profesor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah.

MOHD Harun (tiga kanan) menyerahkan replika cek kepada M Rozi, disaksikan Mohd Zaki (dua kanan). FOTO Baharom Bakar
MOHD Harun (tiga kanan) menyerahkan replika cek kepada M Rozi, disaksikan Mohd Zaki (dua kanan). FOTO Baharom Bakar

Katanya, MAIWP sebelum ini menyerahkan bantuan sebanyak RM1.25 juta bagi membantu meringankan beban mangsa ketika banjir melanda negeri ini tahun lalu.

Ketika mengulas mengenai jumlah kutipan zakat, katanya, sebanyak RM172 juta berjaya dikutip sehingga hari ini.

"Kita menyasarkan kutipan zakat tahun ini adalah sebanyak RM185 juta," katanya.

Dalam tempoh yang sama, katanya, Maidam sudah mengagihkan sebanyak RM190.7 juta kepada golongan asnaf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 2:46 PM