BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Kelantan, Perak dan ibu negara menurun setakat tengah hari ini, namun terdapat peningkatan di Selangor.

Di Pahang, mangsa banjir menurun kepada 35,369 mangsa di 259 PPS pada tengah hari ini, berbanding 37,356 mangsa di 264 PPS pagi tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jumlah daerah yang terjejas banjir di negeri itu kekal sembilan membabitkan Kuantan, Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub, manakala Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa kawasan di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Temerloh, Kuantan akan mengalami ribut petir pada sebelah petang.

Sementara itu, pemegang konsesi ke Pantai Timur di Pahang, ANIH Bhd memaklumkan laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak sudah dibuka, namun pengguna dinasihatkan berhati-hati di laluan kontra di KM77.1 ke KM74.8 dan KM70.3 ke KM68.

Keadaan banjir yang berlaku di sekitar  Kampung Temai Pekan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Keadaan banjir yang berlaku di sekitar Kampung Temai Pekan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan sebanyak 109 PPS dibuka bagi menempatkan 22,332 mangsa banjir daripada 5,775 keluarga setakat 12.21 tengah hari, berbanding 21,941 mangsa di 106 PPS pada 7.20 pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam setakat 10.45 pagi tadi berstatus bahaya dengan ketinggian 3.36 meter dan dalam trend menaik.

Di Kelantan, jumlah mangsa setakat 12 tengah hari ini ialah 1,521 mangsa daripada 516 keluarga berbanding 1,559 mangsa daripada 532 keluarga pagi tadi membabitkan lapan PPS yang kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dengan hanya tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang; Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Perak, sehingga 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menurun kepada 245 mangsa berbanding 252 mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

Di Kuala Lumpur, jumlah mangsa adalah seramai 314 mangsa daripada 74 keluarga dan ditempatkan di dua PPS berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, setakat 11.28 pagi ini, berbanding 315 mangsa daripada 75 keluarga pagi tadi.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 135 mangsa daripada 34 keluarga setakat tengah hari ini, dengan kesemuanya ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, mangsa banjir di negeri itu kekal 301 mangsa daripada 82 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 3:49 PM