Pekerja sebuah kedai motosikal membersihkan motosikal pelanggannya yang dipenuhi lumpur susulan kejadian banjir. FOTO BERNAMA
Pekerja sebuah kedai motosikal membersihkan motosikal pelanggannya yang dipenuhi lumpur susulan kejadian banjir. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menggantikan semula Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan pemilik perniagaan yang musnah akibat bencana banjir secara percuma.

Ia dilaksanakan melalui inisiatif 'Pengecualian Bayaran Bagi Cetakan Perakuan Pendaftaran Kepada Pemilik Perniagaan Yang Terlibat Dengan Bencana Alam'.

Dalam satu kenyataan, SSM berkata, inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu pemilik perniagaan yang terbabit atau terkesan dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri, baru-baru ini untuk mendapatkan salinan cetakan sijil berkenaan tanpa sebarang bayaran.

"Bagi mendapatkan salinan cetakan sijil perakuan secara percuma, pemilik perniagaan yang terkesan boleh hadir ke kaunter perkhidmatan SSM di seluruh negara bersama laporan polis atau dokumen berkaitan yang membuktikan bencana berlaku di premis perniagaan atau alamat kediaman pemilik perniagaan itu," katanya.

Menurut SSM, tempoh pengecualian itu berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas berlakunya bencana alam.

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM melalui talian 03-77214000 atau menghantar emel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 3:14 PM