POLIS mengeluarkan mayat dua beranak dari sebuah rumah di Taman Sri Muda. FOTO BERNAMA
POLIS mengeluarkan mayat dua beranak dari sebuah rumah di Taman Sri Muda. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Angka kematian akibat banjir di Shah Alam terus meningkat apabila dua lagi mayat ditemui di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini sehingga jam 6 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pertambahan dua mangsa itu menjadikan korban akibat banjir di daerah ini kini berjumlah 14 orang membabitkan lapan lelaki dan enam wanita.

Katanya, dua mangsa berkenaan adalah ayah dan anak yang ditemui di dalam sebuah rumah teres setingkat.

"Mangsa adalah seorang lelaki berusia 76 tahun dan anak perempuannya yang berusia 48 tahun.

"Kita mendapat makluman daripada keluarga terdekat yang tidak dapat menghubungi dua beranak itu sejak banjir melanda kawasan ini.

"Susulan itu, pasukan membuat pemeriksaan di rumah mangsa berdasarkan alamat yang diberikan dan menemui mayat dua beranak itu sekitar jam 1.40 tengah hari tadi di dalam rumah mereka," katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Tempat Kejadian 1 (PKTK1) di Taman Sri Muda, Seksyen 25 , hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata sehingga kini tiada laporan diterima mengenai orang hilang susulan banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Katanya, polis akan terus melaksanakan pemeriksaan dari kawasan ke kawasan berdasarkan maklumat dari orang awam termasuk jiran atau keluarga terdekat mangsa banjir.

Sementara itu, Baharudin memaklumkan bahawa sejumlah 4,276 mangsa banjir direkodkan di daerah ini dan 4,080 dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala selebihnya memilih lokasi sendiri seperti berpindah ke rumah saudara atau keluarga terdekat.

Dalam perkembangan lain, Baharudin berkata pihaknya ada menerima 10 laporan mengenai jenayah pecah kedai di Taman Sri Muda.

"Antara yang dipecah masuk adalah kedai serbaneka, kedai perkakasan serta sebuah restoran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 7:31 PM