Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Situasi banjir di Kelantan semakin pulih apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 1,820 orang setakat 3 petang ini berbanding 2,496 orang pada 9 pagi tadi.

Berikutan itu, banjir yang melanda beberapa kawasan semakin pulih terutama di Kuala Krai apabila empat PPS turut ditutup.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Jenis (C) Yuk Chai, Kuala Kraig masih beroperasi menempatkan 73 mangsa.

Selain itu, satu PPS di Pasir Mas juga ditutup hari ini dan kini tinggal sembilan PPS yang menempatkan 1,747 orang mangsa.

Menurut portal eBanjir Kelantan, tujuh jalan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu empat di Pasir Mas dan tiga di Kuala Krai.

Katanya, laluan yang masih ditutup adalah Jalan Jirat, jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/Kampung Bedal/Kuala Nal di Kuala Krai.

Sementara itu, Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang, Jalan Sekolah Cina dan Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh dan Jalan Lubok Kiat-Kubang Kuau di Pasir Mas juga masih ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 4:43 PM
Tinjauan di di Kampung Tersang dan Kampung Tok Deh, Rantau Panjang berdekatan Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tinjauan di di Kampung Tersang dan Kampung Tok Deh, Rantau Panjang berdekatan Sungai Golok. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR