ZAINAL menunjukkan gambar ketika menemui mayat mangsa lemas di Sungai Labu yang tular. FOTO Samadi Ahmad
ZAINAL menunjukkan gambar ketika menemui mayat mangsa lemas di Sungai Labu yang tular. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: "Saya tak nak pergi berbulan madu tapi mahu tinggal bersama isteri di rumah."

Itu kata-kata terakhir Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang ditemukan lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut, dekat sini, semalam.

Allahyarham berkata demikian kepada rakannya, Muhammad Izzul Afiq.

Muhammad Izzul, 23, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah ialah ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Batang Kali, Selangor, pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, selepas majlis itu, mereka berkonvoi dengan tiga kereta pulang ke Labu Lanjut jam 2.30 petang.

Kata Muhammad Izzul, sebelum tiba di Labu Lanjut, Allahyarham menurunkan tiga rakan yang menumpang keretanya di Kota Warisan di sini.

"Dalam perjalanan pulang ke Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, saya ditemani dua rakan iaitu Muaz dan Luqman Hakim.

"Muaz menghubungi arwah bertanyakan khabar berkaitan banjir yang melanda kediamannya.

"Arwah bersungguh-sungguh untuk singgah di rumah sewanya di Labu Lanjut untuk mengambil kelengkapan perkahwinannya yang akan berlangsung pada Ahad di Senawang," katanya.

Muhammad Izzul berkata, kali terakhir mereka dapat menghubungi Muhamad Syafiq ialah pada jam 4.50 petang sebelum dia gagal dihubungi.

Katanya, keesokan harinya, dia terkejut apabila dimaklumkan Muhamad Syafiq lemas ketika menuju ke rumahnya.

Sementara itu, individu yang menemui mayat Muhamad Syafiq, Zainal Mohd Sharif, 34, berkata, penduduk kampung dimaklumkan ada mangsa lemas di kawasan berkenaan.

"Kira-kira jam 6 petang Sabtu lalu, kami sepakat mencari mangsa lemas dengan menggunakan dua bot sehingga jam 7 malam.

"Oleh kerana cuaca gelap dan hujan, kami menangguhkan pencarian sehingga ke keesokan harinya," katanya.

Menurutnya, pada jam 9 pagi semalam, ada individu memaklumkan melihat objek mencurigakan di Parit C, Kampung Lanjut.

Katanya, dia dan rakan, Nazri Khamis, 45, berenang menghampiri objek berkenaan dan mendapati ia adalah mayat.

"Kami menarik mayat ke tepi jalan sebelum menghubungi polis," katanya.

Jenazah Muhamad Syafiq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Lanjut selepas solat Zuhur.

Berita berkaitan

MAHB ucap takziah kehilangan Muhamad Syafiq

Pengantin baru ditemukan lemas di Sungai Labu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 2:44 PM