SATU mayat wanita daripada tiga mangsa yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Bobby Eco Farm Resort, Bentong ditemukan hari ini. FOTO Ihsan JBPM
SATU mayat wanita daripada tiga mangsa yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Bobby Eco Farm Resort, Bentong ditemukan hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Roselan Ab Malek

Jerantut: Satu mayat wanita daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir lumpur di Bobby Eco Farm Resort, Bentong pada Sabtu lalu ditemukan hari ini.

Difahamkan, mayat berkenaan ditemui kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat pada 10.15 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa berusia 66 tahun ditemui pasukan penyelamat di bawah runtuhan kayu balak dan pasir.

"Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa," katanya.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa daripada 35 pengunjung dilaporkan hilang dalam bencana terbabit.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi JBM Pahang menerima panggilan kecemasan pada 10.40 malam Sabtu lalu berhubung kejadian.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands serta bantuan BBP Gombak dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi pencarian

Pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) juga digerakkan bagi operasi menyelamat mangsa berkenaan.

Ketika ini difahamkan seorang lelaki dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 1:32 PM