Mohd Shahril dan sukarelawan lain membantu pihak berkuasa menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas. FOTO ihsan MOHD SHAHRIL MUSTAFA.
Mohd Shahril dan sukarelawan lain membantu pihak berkuasa menyelamatkan mangsa banjir yang terkandas. FOTO ihsan MOHD SHAHRIL MUSTAFA.
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Mungkin hari ini hari mereka, mana tahu esok lusa hari kita pula," kata pengusaha River Cruise Teluk Intan, Mohd Sahril Mustafa, 33.

Mohd Shahril membawa tiga botnya bersama seorang rakan yang juga pemandu bot untuk misi bantuan banjir di Lembah Klang dan bertolak dari Teluk Intan, tengah hari semalam.

Menurutnya, dia mendapat banyak kiriman mesej daripada pengikut di Facebook termasuk mereka yang pernah menjadi pelanggannya untuk meminta bantuan.

"Saya (tinggal dan berkerja) berhampiran sungai jadi memang faham situasi banjir apatah lagi jika ia berlaku tidak dijangka sebab itu saya mahu bersama-sama membantu mereka.

"Kebetulan ketika saya mahu membuat persiapan seorang sukarelawan (Sulaiman Talib) dari Klang datang ke jeti untuk membeli bot bagi digunakan untuk membantu mangsa banjir.

"Saya beritahu dia tak payah beli, guna saja bot saya kerana memang mahu ke sana. Jadi kami ke sana dengan bot yang dibawa menggunakan lori lelaki itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Untuk rekod, mereka tiba di Sri Muda, Shah Alam pada 3 petang, semalam terus membantu memindahkan mangsa ke tempat lebih selamat.

"Ramai mesej beri lokasi mereka untuk meminta bantuan, ada yang sudah hampir empat hari terkandas dalam rumah tanpa bekalan elektrik.

"Memang kasihan melihat keadaan mangsa banjir terutama kanak-kanak dan warga emas. Paling membuatkan saya sedih apabila melihat bomba membawa mayat mangsa banjir," katanya.

Menurutnya, beberapa individu lain di Teluk Intan juga sudah ada menghantar bantuan lebih lima bot ke kawasan terjejas banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 11:33 AM