BOT yang membawa 10 pemancing bersama dua kru dan tekong dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke jeti selepas keluar memancing dari Jeti Pengkalan Kubur, Kuala Besut, Sabtu lalu. FOTO IHSAN APMM
BOT yang membawa 10 pemancing bersama dua kru dan tekong dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke jeti selepas keluar memancing dari Jeti Pengkalan Kubur, Kuala Besut, Sabtu lalu. FOTO IHSAN APMM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 10 rang pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sehingga hari ini.

Kesemua pemancing terbabit yang dipercayai pergi memancing di kawasan Pelantar Minyak Tapis di perairan negeri ini sepatutnya pulang semalam selepas keluar pada jam 10 pagi, Sabtu lalu.

Difahamkan, rakan pemancing mendakwa kali terakhir melihat bot dinaiki kumpulan pemancing itu berada di sekitar Pelantar Minyak Tapis, kira-kira 128 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd Ramli berkata, semua pemancing terbabit dipercayai dari Teluk Intan, Perak datang ke negeri ini untuk melakukan trip memancing dengan menyewa sebuah bot berpangkalan di Jeti Pengkalan Kubur, Besut.

Katanya, Operasi Mencari dan Menyelamat(Cari Lamat) bot terbabit dilakukan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Teluk Intan, Perak selepas bot bernombor pendaftaran KNF 7040 tidak pulang pada waktu yang dijadualkan.

"Difahamkan, pengadu berusia 46 tahun itu ada menghubungi rakannya yang juga pemandu bot di jeti berkenaan bertanyakan mengenai bot yang membawa pemancing terbabit samada sudah pulang atau belum.

"Ops Cari Lamat dilancarkan dengan menggerakkan Kapal Maritim (KM) Redang ke lokasi kejadian pada 11.45 pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, usaha mengesan lokasi bot tersebut mengalami kesukaran berikutan ia tidak dilengkapi sebarang peralatan komunikasi.

"Kita cuba mencari di kawasan sekitar pelantar minyak yang mungkin menjadi lokasi mereka memancing tetapi setakat ini tiada petunjuk ditemui," katanya.

Dalam masa sama pihaknya turut berhubung dengan Pusat Komunikasi Petronas dan Exxon Mobil di pelantar minyak bagi mendapatkan bantuan mengesan bot berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 10:41 PM