Abdul Azeez (kiri) melawat mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Parlimen Baling. FOTO MEDIA SOSIAL
Abdul Azeez (kiri) melawat mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Parlimen Baling. FOTO MEDIA SOSIAL
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Umno Bahagian Baling meluluskan usul untuk terus menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) sehingga berakhir penggal Parlimen ke-14.

Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata,

sokongan itu wajar diberikan bagi memastikan enam teras dalam Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dapat dijayakan di bawah kepemimpinan beliau (Ismail Sabri).

"Antara enam teras itu adalah menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial dan ini sangat penting kerana ketika ini kita masih berada dalam pandemik Covid-19.

"Saya difahamkan terdapat seorang lagi rakyat kita positif Covid-19 varian Omicron, jadi saya yakin rakyat tidak mahu lagi kerajaan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat sudah hidup susah selama dua tahun ini, biar lah kita beri peluang kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan tugasnya hingga tamat penggal.

"Sokongan ini kita putuskan sebulat suara ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Baling di Dewan Kenangan, Tun Abdul Razak, di sini, semalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Khatan Perdana Parlimen Baling di Kampung Teluk Durian, Kupang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, sokongan itu diberikan dengan harapan kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri dapat meneruskan beberapa projek di daerah itu yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Beliau berkata, antara projek itu adalah pembinaan cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Baling, 1,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mewujudkan kawasan perindustrian.

"Kebanyakan projek ini ada yang sudah pecah tanah dan kerajaan sudah membeli tanah untuk laksanakan projek terbabit, tetapi dibatalkan begitu saja.

"Menteri Kewangan ketika itu Lim Guang Eng turut membuat pemotongan 10 hingga 15 peratus peruntukkan untuk pembinaan Hospital Pakar Baling daripada RM108 juta kepada RM80 juta maknanya skop kerja sudah menjadi kecil.

"Jadi saya merayu kerajaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri dapat mengembalikan projek ini walaupun bukan semua untuk memberi manfaat penduduk Baling dan seluruh rakyat negeri Kedah amnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:40 PM