Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,219 orang sehingga jam 12 tengah hari ini, berikutan beberapa daerah yang masih hujan terutama Jeli dan Gua Musang.

Mereka daripada 287 keluarga itu ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Ketua Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Malaysia (APM) Gua Musang Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, beberapa PPS di Gua Musang mula dibuka jam 9 pagi tadi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1 (TIP 1) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Star.

Katanya, dua PPS itu dibuka susulan beberapa kampung iaitu Lembaga, Kampung Tiong, Sungai Cindai, Bandar Lama, Kampung Baru, Batu 1, Batu 2 dan Kampung Star yang dinaiki air.

"Kami bersama pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pasukan polis dan agensi lain dalam usaha memindahkan mangsa yang terjejas.

"Saya juga berharap mereka yang terjejas membuat persediaan awal dan segera menghubungi pihak keselamatan untuk membantu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, beberapa jalan di Gua Musang ditutup iaitu Jalan Sungai Terah ke Jeli dan Jambatan Sungai Cindai iaitu untuk ke bandar lama.

Katanya, jalan utama dari Gua Musang ke Kuala Lumpur atau Gua Musang ke Kuala Krai tidak terjejas dan masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, PPS SMK TIP 1 menempatkan 223 mangsa daripada 57 keluarga, SK Chiku 7 seramai 392 mangsa membabitkan 70 keluarga dan SK Limau Kasturi 191 mangsa daripada 41 keluarga.

MANGSA banjir yang ditempatkan di SMK Tengku Indera Petra 1 (TIP 1), Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. FOTO Ihsan APM
MANGSA banjir yang ditempatkan di SMK Tengku Indera Petra 1 (TIP 1), Gua Musang selepas beberapa kampung dinaiki air. FOTO Ihsan APM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 2:01 PM