SHAFIEN (tengah) memakaikan pangkat Superintendan kepada Sik Choon Foo yang dilantik Ketua Polis Daerah di IPD Gua Musang, hari ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
SHAFIEN (tengah) memakaikan pangkat Superintendan kepada Sik Choon Foo yang dilantik Ketua Polis Daerah di IPD Gua Musang, hari ini. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Semua Ketua Polis Daerah di negeri ini perlu memberi respons segera apabila sesuatu kejadian bencana alam ditularkan orang ramai.

Ini kerana situasi itu menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai sama ada kejadian terbabit benar berlaku atau sebaliknya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kebanyakan kejadian sama ada banjir, jalan rosak dan tanah runtuh lambat mendapat respons daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, beliau merujuk kepada kejadian tanah runtuh di Lojing, di sini, petang semalam kerana laluan berkenaan terpaksa ditutup sehingga menimbulkan banyak persoalan.

"Ini berikutan pengguna jalan raya cepat merakamkan kejadian dan menularkan kejadian dalam media sosial sehingga menimbulkan suasana panik.

"Kita (polis) perlu meneliti perkara dan cepat-cepat memberi respons supaya orang ramai mendapat penjelasan yang tepat berhubung perkara terbabit.

"Kejadian tanah runtuh di Lojing memberi impak cukup besar kepada pengguna kerana ia adalah laluan penting untuk orang ramai ke Pahang, Kuala Lumpur, negeri di utara dan Perak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, di sini, hari ini.

Setakat ini, tiga PPS dibuka di daerah ini bagi menempatkan 296 mangsa membabitkan 78 keluarga.

Dalam kejadian tanah runtuh pada 3.30 petang semalam, bongkah batu, kayu dan lumpur turut memenuhi laluan di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, sekali gus menyebabkan jalan berkenaan ditutup untuk semua kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 4:51 PM