RUMAH Nur Shahidah yang rosak dihempap pokok dalam kejadian ribut. FOTO Rosli Ilham
RUMAH Nur Shahidah yang rosak dihempap pokok dalam kejadian ribut. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: "Dalam keadaan ribut kencang dan hujan lebat saya bersama lima anak berlari menyelamatkan diri ke rumah mentua," kata Nur Shahidah Racmat, 34, selepas rumahnya di Kampung Bukit Kuang, di sini, ditimpa pokok kelapa dalam kejadian ribut awal pagi hari ini.

Nur Shahidah, 34, turut meluahkan kesyukuran apabila dia bersama lima anak berusia setahun hingga 11 tahun tidak cedera dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu.

Katanya, kejadian ribut kuat itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi ketika mereka sedang tidur di ruang tamu, manakala suami Ahmad Sukri Abdul Ghani, 39, disahkan positif Covid-19 dan sedang dikuarantin di Kuala Terengganu.

"Keadaan ribut sangat menakutkan, dan saya mengejutkan semua anak-anak, kami semua berpelukan akibat ketakutan.

"Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi pokok tumpang sebelum sebatang pokok kelapa itu menghempap bumbung rumah dan nyaris menimpa kami lima beranak," katanya di sini, hari ini.

Katanya, dalam suasana kelam kabut serta rumah yang dimasuki hujan dia menghubungi ahli keluarganya untuk meminta bantuan.

"Saya mengambil keputusan berlindung di rumah mentua kerana rumah pusaka keluarga suami itu tidak lagi selamat untuk didiami.

"Saya sangat buntu kini tiada tempat berlindung dan pendapatan suami yang bekerja sendiri tidak mampu untuk membina rumah baru," katanya.

Nur Syahidah berkata, dia berharap ada mana-mana pihak yang sudi membantu membaiki kediamannya itu supaya mereka sekeluarga tidak lagi berdepan sekali lagi dengan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 4:59 PM